Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita & Maklumat Terkini

Manage PermissionsManage Permissions
Majlis Acara Kemuncak Sambutan Hari Perkhidmatan Awam Kali Ke 24

Rabu, 22 November 2017 – Majlis Acara Kemuncak Hari Perkhidmatan Awam (HPA) yang ke-24 tahun 2017 telah diadakan di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas. Tema bagi sambutan Hari Perkhidmatan Awam bagi tahun ini adalah "Transformasi Ke Arah Perkhidmatan Awam Yang Progresif" yang berhasrat untuk mentransformasi Perkhidmatan Awam supaya menjadi lebih responsif dan prihatin terhadap aspirasi dan keperluan masyarakat serta merangkumi transformasi dalam cara berfikir dan bertindak dalam melaksanakan dasar-dasar kerajaan bagi merealisasikan wawasan negara. Selaku jentera penggerak pentadbiran negara dan kesejahteraan rakyat, Perkhidmatan Awam perlu terus berusaha dengan gigih untuk menyediakan eko-sistem dan persekitaran yang terbaik untuk rakyat Negara Brunei Darussalam. 

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat ke majlis tersebut berserta dengan kerabat-kerabat Diraja yang lain diiringi dengan persembahan tausyeh dan diikuti dengan lagu kebangsaan "Allah Peliharakan Sultan."

Majlis dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah yang dikepalai oleh Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan yang dikhususkan kepada Al-Mahrum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien ibni Al-Mahrum Sultan Muhammad Jamalul Alam, serta Pegawai-Pegawai dan Kakitangan Kerajaan yang telah kembali ke rahmatullah. Majlis seterusnya diikuti dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran daripada surah Al-Anfal yang dibaca oleh Yang Mulia Awang Zulkifli bin Haji Murat, Pegawai Hal Ehwal Masjid. Manakala pengajaran ayat pula dibacakan oleh Yang Mulia Awang Ahmad Syafiq bin Haji Osman, Pegawai Hal Ehwal Masjid.

Majlis diteruskan dengan sembah alu-aluan oleh Yang Mulia Awang Haji Nazmi Bin Haji Mohamad, Setiausaha Tetap, Jabatan Perdana Menteri selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari Perkhidmatan Awam Ke-24, tahun 2017. Yang Mulia Pengerusi juga menjunjung perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk mengurniakan Titah. 

Majlis diteruskan dengan ceramah khas yang disampaikan oleh Yang Mulia Dato Seri Setia Dr. Haji Japar bin Haji Mat Dain @ Maidin, Timbalan Mufti Kerajaan.

Seterusnya sembah permakluman penerima-penerima Anugerah Pekerja Cemerlang Perkhidmatan Awam (APCPA) bagi tahun 2017 disampaikan oleh Yang Mulia Awang Haji Abdul Manap Bin Othman, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam selaku Pengerusi Jawatankuasa Penilaian Anugerah Pekerja Cemerlang Perkhidmatan Awam.  Seramai 41 orang pegawai dan kakitangan Kerajaan yang terdiri dari Bahagian II, III, IV dan V dari setiap Kementerian telah diperkenankan untuk menerima anugerah tersebut.

Tujuan utama APCPA merupakan penghargaan dan pengiktirafan kepada warga Perkhidmatan Awam yang telah menunjukkan prestasi kerja yang cemerlang dan mempunyai keperibadian yang boleh dicontohi oleh pegawai dan kakitangan yang lain, disamping memberikan kualiti dan penghasilan kerja yang sering kali melebihi daripada keperluan tugas dan tanggungjawab jawatan. Bagi pegawai Bahagian II, kriteria tambahan yang dinilai adalah khidmat masyarakat, inisiatif penambahbaikan serta kepimpinan. Anugerah ini diharapkan akan menjadi pendorong dalam meningkatkan semangat bekerja dan produktiviti kerja yang lebih tinggi lagi berkualiti yang akan membawa ke arah Perkhidmatan Awam yang lebih cemerlang.

Penerima APCPA bagi setiap Bahagian dihadiahkan sebuah plak, sijil penghargaan dan wang tunai sebanyak $1,000.

Majlis diteruskan lagi dengan tayangan klip Video Konvensyen Kumpulan Kerja Cemerlang (KKC) Peringkat Kebangsaan Kali Ke-20 bagi tahun 2017 yang mana kemudian sembah permakluman Keputusan Konvensyen Kumpulan Kerja Cemerlang (KKC) disampaikan oleh Yang Mulia Hajah Noor Airah Binti Haji Abdul Rahman, Pemangku Pengarah Institut Perkhidmatan Awam selaku Pengerusi Jawatankuasa Penyelenggaraan Konvensyen.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam seterusnya berkenan mengurniakan hadiah-hadiah dan penghargaan kepada penerima-penerima APCPA dan pemenang-pemenang KKC.

Majlis diakhiri dengan bacaan doa selamat dan diikuti dengan lagu kebangsaan "Allah Peliharakan Sultan." Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kemudian telah berkenan untuk bergambar ramai dengan penerima-penerima APCPA dan pemenang-pemenang KKC tahun 2017.


Attachments